Maklumat Kampus

Politeknik Ungku Omar yang terletak di Jalan Raja Musa Mahadi (dahulunya dikenali sebagai Jalan Diary), Ipoh ,negeri Perak ditubuhkan pada tahun 1969. Politeknik ini telah ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan bantuan UNESCO. Peruntukan sebanyak RM24.5 juta diperolehi daripada Program Pembangunan PBB (UNDP).

Politeknik ini mengambil sempena nama Allahyarham Dato’ Profesor Ungku Omar Ahmad demi mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara dan bangsa terutamanya dalam bidang penyelidikan perubatan.

Kampus Politeknik Ungku Omar terletak di kawasan Ampang, Ipoh. Pada penghujung 1973, Politeknik berpindah dari Pusat Latihan Harian ke kampus kekalnya dan telah dirasmikan pada 10 Mei 1974 oleh Y.B. Menteri Pendidikan pada masa itu, Allahyarham Tun Abdul Razak b Hussein.

Kampus ini kini dikenali sebagai Kampus A setelah politeknik mengambil alih bekas kampus Maktab Perguruan Kinta dan dinamakan Kampus B pada 1990. Pada peringkat awal penubuhan, politeknik ini mempunyai empat jabatan pengajian iaitu Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrik dan Perdagangan. Pada tahun 1972, diwujudkan Jabatan Kejuruteraan Perkapalan dengan bantuan teknikal dan rundingan daripada JICA.

Pada 1 Mac 1999, dua unit akademik dinaikkan taraf sebagai Jabatan. Unit Matematik dan Sains dijadikan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer manakala Unit Bahasa/Agama pula dijadikan Jabatan Pengajian Am. Kini, Politeknik Ungku Omar mempunyai tujuh jabatan akademik.